Tuesday, September 5, 2017

BAHAYANYA PENYAKIT JANTUNG

Sharing dari sahabat Dr Abdul Rahman, pakar perubatan kecemasan KKM
#PENYAKIT_JANTUNG_KETURUNAN

santai bersama warongKoboi


Semalam saya merawat seorang pesakit yang dibawa ke jabatan kecemasan dalam keadaan jantungnya terhenti.
Usianya masih muda dalam lingkungan 58 tahun. Baru saja pencen dan masanya baru saja terluang sepenuhnya untuk anak dan cucunya.
Sejak tengah malam tersebut dia mengadu sakit dada namun disangkakan gastrik dan hanya pada sebelah paginya dia dibawa ke hospital setelah muntah2 di rumah.
Dalam perjalanan ke hospital dia tidak sedarkan diri. CPR dilakukan segera setibanya dia di jabatan kecemasan. Setelah hampir 25 minit, jantungnya berjaya diaktifkan semula dan saya dapat mendiagnosis pesakit tersebut secara konklusif sebagai serangan jantung koronari (acute myocardial infarction) setelah dilakukan ECG.
Tanpa membuang masa saya berikan ubat terbaik yang ada di jabatan dan terus berdoa agar keadaannya menjadi lebih stabil. Malangnya keadaannya tidak sedemikian dan bertambah merosot. Jantungnya kerap terhenti dan memerlukan rawatan CPR berkali2. Keseluruhan masa untuk resusitasi pesakit ini adalah hampir 1 jam!
Saya memberi penerangan kepada waris pesakit akan ketenatannya dan memberitahu harapan semakin tipis.
Mereka menangis dan berpelukan sesama sendiri sebelum akhirnya membuat keputusan supaya rawatan CPR ditamatkan dan mereka redha dengan pemergian pesakit. Suasana cukup hiba pada ketika itu.
Akhirnya pesakit meninggal dunia. Proses pengurusan jenazah ke jabatan forensik diuruskan segera oleh pasukan saya.
Pesakit ini saya nilai tidak ada sebarang masalah kesihatan. Tidak ada kencing manis, darah tinggi ataupun masalah kolesterol sebelum ini. Tubuhnya juga tidak obese dan seorang yang lasak melakukan aktiviti fizikal.
Dia cuma mempunyai satu masalah iaitu masalah penyakit keturunan. Pesakit ini mempunyai 7 orang adik beradik, 5 daripadanya adalah lelaki.
Kesemua adik beradik lelakinya adalah perokok.
Arwah sendiri menghabiskan satu kotak rokok sehari sejak remaja hingga kini. Inilah penyakit keturunan mereka yang membawa kepada penyakit yang mengancam nyawa.
Saya menggunakan kesempatan yang ada untuk menasihati kesemua adik beradik arwah yang masih hidup agar berhenti merokok. Semoga Allah memberi taufik dan hidayah agar mereka meninggalkan penyakit ini.
Sahabat2 semua..gunakanlah Ramadhan ini sebagai tempoh terbaik utk berhenti merokok. Anda boleh menahan diri dari merokok bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari, justeru apa pula yang menghalang kalian dari berhenti merokok selamanya?
Sayangilah kesihatan diri anda dan orang2 yang tersayang. Bayangkan keluarga arwah yang saya ceritakan di atas...sudah pasti Aidilfitri mereka kali ini diiringi kesedihan dan linangan air mata.
Rokok telah menghancurkan kebahagian mereka.
Apakah anda mahu ia merampas kebahagiaan anak2 dan keluarga anda?
Muhasabahlah diri.

No comments:

Post a Comment